Thursday, July 1, 2010

Kalau guru gatal, murid miang

"Satu berita menyebut tentang Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sembilan. Pengisinya antaranya Mawi (bukan Mavi). Lalu disertakan beberapa keping gambar yang menunjukkan seronok dan terujanya para guru mengambil gambar bersama Mawi.

Peribahasa Melayu lama menyebut guru kencing berdiri, murid kencing berlari, bapa borek anak rintik dan lain-lain. Ia bukan rekaan tapi kebijaksanaan orang Melayu dahulu dalam membuat perumpamaan atau simpulan bahasa. Tepat sekali. Mungkin peribahasa baharu yang saya reka ‘guru gatal, murid miang’ agak kurang beradab sedikit bunyinya. Tapi, bukankah sesuai dengan dunia kini termasuk dunia perguruan yang sudah mula hilang adab juga?


Di zaman kami kecil, guru digambarkan sebagai ikon punya nilai luhur. Disebut, seorang Perdana Menteri dididik oleh seorang guru. Seorang ibu dididik oleh seorang guru. Seorang apa pun, asalnya dididik oleh seorang guru. Istilah ‘GURU’, bahkan mahaguru dan tok guru adalah istilah mulia mengangkat martabat guru itu sendiri.

Apa yang dilaporkan tentang cara sambutan Hari Guru itu tidaklah terlalu melampau ( betul ke?) Saya pun tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku. Tapi kerana profesion perguruan ini mulia, maka baik sekali kalau guru yang menjadi teladan dengan adab yang tinggi, menjadi contoh kepada murid. Ada guru yang memberikan justifikasi atas kegedikan itu, tulisnya: ‘guru pun manusia’. Ya, oleh kerana manusia itulah maka nasihat dan teguran ini dibuat. Kalau setakat nak ambil gambar bersama secara beramai-ramai dengan adab dan tertib, tak salah. Tapi mungkin kerana terlalu teruja bertemu Mawi (dengan Mavi Marmara tak teruja pun), maka berlakulah apa yang berlaku.

Saya masih ingat ketika menjadi pensyarah dahulu. Ada pensyarah lain yang suka menganjurkan ‘english night’. Saya bukan anti program ‘english night’, tapi pengisiannya. Pernah berlaku, satu pentomen yang dilakonkan oleh pelajar lelaki berlakon sebagai perempuan (haram hukumnya), mencampakkan coli keluar. Saya tak tonton dan tak hadir. Dikatakan, ada yang ketawa, dan ada yang terkejut. Contoh yang baikkah ini? Ada juga pelajar lain yang menjadikan malam itu untuk peluang berbelangkas di belakang. Kalau masa lain, payah, ustaz Nik nampak.

Bila ada pre-endorsement untuk bentang exam, didapati ada pelajar yang dapat markah rendah. Assignment tak buat. Kelas tak hadir. Semak punya semak, ada pelajar bermasalah. Dalam harddisknya di asrama penuh di simpan ratusan klip video lucah. ‘Ustaz, tolong ustaz’. Akhirnya ustaz juga yang diminta tolong.

Saya yakin, bukan semua guru yang demikian. Tapi guru juga yang pernah mengajar kami peribahasa ‘kerana seekor kerbau habis semuanya terpalit lumpur’. Para guru sekalian! Profesion perguruan bukan hanya untuk makan gaji, atau mengajar supaya dapat banyak A. Mendidik adalah ibadah amat besar, apatah di zaman penuh fitnah dan cabaran kini. Mendidik mesti bermula dengan diri sendiri yang beradab dengan Allah dan makhluk, bukan sahaja di dalam kelas atau ketika ceramah agama oleh ustaz jemputan tetapi ketika di pentas. Kalau tidak, anda memang membenarkan peribahasa di atas ‘kalau guru gatal, murid miang’.

"

No comments: