Tuesday, June 29, 2010

Ada tiga golongan manusia dalam menghadapi musibah :

a. Pertama adalah golongan yang menganggap bahawa musibah adalah sebagai hukuman dan azab kepadanya. Sehingga, dia selalu merasa sempit dada dan selalu mengeluh.

b. Kedua, golongan yang menilai bahawa musibah adalah penghapus dosa dan dia tidak pernah menyerahkan apa-apa hal yang menimpanya kecuali kepada Allah.

c. Ketiga, golongan yang meyakini bahawa musibah adalah ladang peningkatan iman dan takwa. Golongan yang seperti ini selalu tenang serta percaya bahawa musibah itu, Allah menghendaki pada kebaikan bagi dirinya.
Antara tindakan yang boleh kita lakukan setiap kali merasakan kita dilanda musibah.

1. Kita diajarkan untuk mengucapkan kalimah : Innalillahiwainnailaihirrojiuun (dari Allah ia datang, kepada Allah ia kembali)

Ucapkanlah, dan berdoalah semoga musibah itu sebentar sahaja dan berdoa memohon kekuatan dalam menghadapinya. Ini diajarkan sendiri oleh Allah kepada kita. Mengapa kita tidak mahu mengamalkannya? Sama seperti amalan membaca Bismillah sebelum makan.

2. Rasulullah S.A.W bersabda :

" Berselawatlah padaku di permulaan musibah itu adalah sangat baik sekira kamu mengetahui. "

Rasulullah menyarankan supaya berselawat padanya ketika saat permulaan mengalami apa jua musibah/masalah. Berselawat keatas Nabi adalah bermaksud mendoakan kesejahteraan Nabi seperti : Allahumma solli ala saidina muhammadinnabiyyil umiyyi

Mengapakah mendoakan kesejahteraan Nabi, sedangkan kita yang dilanda masalah? Ramai yang tidak menyedari akan khasiat daripada mendoakan Nabi S.A.W.

Sabda Nabi S.A.W :

" Sesiapa yang berselawat kepadaku (mendoakan kesejahteraanku) sekali (1 kali), maka Allah akan memberikan kesejahteraaan kepada sesiapa yang berselawat tadi sebanyak sepuluh (10) kali. "

Lihatlah betapa besarnya fadhilat berselawat ini. Nabi S.A.W adalah kekasih Allah, diturunkan ke bumi ini sebagai Rahmatallilalamin (rahmat buat sekalian alam). Maka mendoakan untuk orang sangat dikasihi Allah, Allah akan membalas sepuluh kali ganda pada orang berdoa tadi. Maka selalulah kita berselawat dengan ikhlas, tidak kira di waktu senang atau pun susah. Tidak perlu tunggu hingga menerima musibah untuk berselawat.

3. Bersangka baik dengan Allah (Husnuldzon/Positive Thinking) kepada Allah.

Kenalilah Allah yang kita sembah itu dengan persepsi yang betul dan benar dengan mempelajari dan menghayati sifat-sifat-Nya yang telah diajarkan kepada manusia. Juga dari 99 nama Allah, kita dapat belajar sifat Allah.

Sekiranya kita melihat seorang gadis yang cantik rupawan, acapkali kita terpanggil untuk melihat gadis itu sekali lagi, kerana apa? Kita terpegun dengan kejelitaan wajah gadis itu. Maka cuba kita fahami bahawa Yang Menciptakan gadis tersebut tentulah lebih indah, lebih cantik, sepertimana yang diriwayatkan bahawa di dalam syurga kelak, apabila Allah membuka hijab-Nya kepada manusia, para ahli syurga akan terpegun dan ternganga melihat kecantikan dan keindahan Allah hingga tidak berkata apa-apa selama 40 tahun.

Ini baru sifat-Nya yang Maha Indah dan Maha Sempurna. Bagaimana dengan sifat-sifat-Nya yang lain seperti Maha Pengasih, Maha Penyayang?

Allah memberitahu kita, Dia amat menyayangi hamba-hamba-Nya melebihi seorang ibu yang sedang menyusukan anaknya. Bolehkah kita fahami betapa besarnya kasih sayang yang sebegini rupa? Maka wajarkah kita mengatakan Allah itu tidak adil? Pilih kasih? Kejam dan sebagainya yang hanya merupakan sangkaan buruk yang tidak benar?

Ubahlah persepsi kita pada Allah mulai sekarang, semoga Allah memberikan hidayah dan rahmat-Nya pada kita semua, semoga kita semua sentiasa dilindungi-Nya daripada persepsi yang salah dan memudaratkan diri kita sendiri.

No comments: