Tuesday, July 6, 2010

TIADA SIAPA YANG MENJADI HERO SEJAK MULA

Menjadi 'hero' menyebabkan kita perlu mengorbankan banyak perkara. Antaranya ;

1. Korbankan perasaan :

Manusia kebiasaannya akan cenderung bertindak berdasarkan perasaan. Lebih senang jika saya katakan sebagai mengikut hati.

Jadi mengorbankan perasaan adalah perkara terpenting untuk dilakukan di dalam melakukan perubahan. Maksud saya bukanlah mengorbankan dan memusnahkan perasaan sehingga menjadi manusia yang tidak berperasaan tetapi sekadar untuk menundukkan perasaan. Sekali anda dapat menundukkan perasaan, Insyaallah nafsu turut dapat ditundukkan.



" Islam datang bukanlah untuk menafikan perasaan tetapi untuk menuntun perasaan mengikut jalan yang benar. "



2. Korbankan diri :

Saya bukanlah menyeru anda semua untuk membunuh diri tetapi menyeru untuk mengorbankan nafsu yang terdapat di dalam diri . Berkorban tidak semestinya terkorban. Oleh itu, dengan mengorbankan nafsu yang terdapat di dalam diri, Insyaallah jalan anda akan lebih cerah untuk menuju ke alam perubahan.

3. Korbankan masa :

Keberkatan masa amat kita perlukan di dalam memulakan langkah untuk berubah. Apabila kita melakukan perkara-perkara yang diberkati maka masa dan waktu seharian kita akan diredhai oleh Allah. Apabila kita mendapat keredhaan Allah, maka Insyaallah kita akan nampak kebaikan-kebaikan yang boleh kita lakukan dan ini akan memberi kesan yang lebih mendalam kepada kita.

4. Korbankan harta :

Sebut sahaja tentang harta mungkin masih ramai yang teragak-agak untuk mengorbankannya. Harta bukanlah segala-galanya. Oleh itu, untuk berubah harta adalah antara perkara yang perlu dikorbankan. Contohnya, membelanjakan wang untuk membeli baju yang boleh menutup aurat dengan sempurna. Insyaallah, harta yang kita korbankan akan dibalas dengan balasan yang lebih baik oleh Allah.

5. Korbankan nyawa :

Maksud saya di sini ialah kita mewakafkan diri kita demi Islam. Mengabdikan kehidupan kita untuk mengajak rakan-rakan dan ahli keluarga untuk tunduk kepada perintah Allah dan lain-lain lagi yang membuktikan kita ialah muslim sepenuh masa dan bukannya untuk seketika.

No comments: