Sunday, July 11, 2010

Hati-Hati Syirik Percaya Sotong Paul Ramal Piala Dunia



"Peribahasa Melayu lama sebut otak udang untuk menggambarkan kebodohan seorang atau cara berfikirnya. Ada peribahasa baharu semenjak dua menjak ni iaitu otak sotong. Mungkin Kamus Dewan boleh membuat tafsirannya iaitu seorang yang sentiasa tepat meramalkan sesuatu. Nama Paul tiba-tiba muncul dalam arena bolasepak dunia. Entah bila si sotong kurita ini minat dengan bola.

Manusia yang diberi akal menjadi lebih bodoh dari seekor sotong tidak berakal. Para jurugambar berebut-rebut merakamkan si sotong Paul memilih pasukan favouritenya. Kalau hanya bodoh boleh tahan lagi. Yang tak boleh tahan dan membahayakan aqidah ialah apabila ada orang Islam yang terpengaruh dengan kebodohan dan syirik ala World Cup ini.
Bukan sahaja sotong, burung merpati di Singapura dan para dukun di benua Amerika Selatan turut meramalkan samada Sepanyol atau Belanda yang akan menjadi johan Piala Dunia.

Di zaman jahiliah dahulu, mereka yang berada dalam jahiliah sesat menggunakan azlam iaitu menggunakan anak panah meramalkan keadaan sesuatu. Begitu juga menisbahkan berlakunya sesuatu kepada bintang si anu si anu.

Seorang pembaca berita tv Melayu Muslim menyebut ‘…Sotong Paul yang bijak meramalkan..’ Beliau mungkin hanya membaca skrip. Ia mungkin bermaksud mahu meraikan sama kemeriahan Piala Dunia yang sedang menuju kepada klimaksnya. Tetapi hati-hati dengan skrip yang silap-silap langkah boleh membawa kepada syirik.

Demikian juga ketika seorang pengulas bolasepak Piala Dunia mengulas dalam satu perlawanan ‘…suratan atau kebetulan’ ketika satu insiden berlaku berkait dengan gol atau tidak gol (?) Ia mungkin spontan tanpa menyedari apa yang disebut bercanggah dengan akidah.

Perkara-perkara ini kelihatan kecil pada sesetengah orang tapi ia besar di sisi Allah. Bagi bukan Islam, mereka mungkin mengiktikadkan perkara di atas tapi bagi muslim, hati-hati ya.

No comments: