Saturday, December 13, 2008

Pertubuhan guru tidak mahu PTD dalam perkhidmatan pendidikan

MAJLIS Permuafakatan Kesatuan dan Persatuan Guru Kementerian Pelajaran Malaysia mengulangi pendirian bahawa pihaknya tetap menolak pelantikan Pegawai Tadbir dan Diplomatik dalam sistem pentadbiran Kementerian Pelajaran. Pengerusinya, Jemale Paiman, berkata perkara itu satu daripada beberapa ketetapan yang diputuskan majlis berkenaan dalam pertemuan wakil 24 kesatuan dan persatuan guru di Kuala Terengganu, baru-baru ini.Selain ketetapan yang juga terkandung dalam Deklarasi Kota Bahru yang diputuskan sebelumnya, beliau berkata, antara ketetapan lain ialah ialah penstrukturan pegawai di jabatan pelajaran negeri (JPN) dan pejabat pelajaran daerah (PPD) harus mengambil kira pandangan persatuan dan kesatuan guru sebelum ia dilaksanakan.
Beliau yang juga Presiden Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia berkata, pihaknya tidak mahu berlaku salah faham dan pertindihan jawatan serta tugas yang membawa gangguan dalam sistem pentadbiran di peringkat kementerian, JPN dan PPD.“Selain itu, semua pegawai sama ada di kementerian, JPN mahupun PPD perlu dikekalkan di tempat sekarang walaupun dinaikkan ke gred lebih tinggi.
“Kepakaran pegawai berpengalaman ini amat diperlukan bagi memajukan sistem pentadbiran pelajaran. Penempatan semula yang tidak sesuai akan menjejaskan integriti mereka,” katanya kepada Berita Harian.
Jemale berkata, ketetapan seterusnya ialah menolak Peperiksaan Tahap Kecekapan bagi memberi peluang pegawai dan guru berpengalaman yang ketinggalan dalam perjawatan naik pangkat kerana tidak mencapai tahap minimum dalam penilaian berkenaan.Majlis itu juga mahukan semua pengarah JPN serta pegawai di PPD menjalankan tugas dan tanggungjawab berdasarkan arahan serta keputusan Ketua Pengarah Pelajaran.
“Kita mahu semua bertugas dengan penuh dedikasi dan berhemah tinggi bagi meningkatkan tahap profesional perguruan berdasarkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan teras kelima.
“Pihak kementerian juga sudah tiba masanya mewujudkan perjawatan pada gred baru bagi Pegawai Perkhidmatan Pelajaran Lepasan Diploma sehingga DGA40 berbanding setakat ini DGA34 dan terkini DGA38 bagi guru besar dan pengelola cemerlang.
“Kami cadangkan Gred DGA40 dikhususkan untuk guru besar dan pengelola cemerlang, DGA38 guru besar, DGA34 bagi lantikan jawatan guru penolong kanan hakiki, DGA32 guru ‘time-base’ dan cemerlang, manakala DGA29 guru baru.
Jemale menjelaskan, majlis berkenaan turut memutuskan supaya Pegawai Perkhidmatan Pelajaran Siswazah turut diperluaskan ke kementerian, JPN, PPD, Bahagian Nazir Sekolah serta Bahagian Teknologi Pendidikan dengan kenaikan pangkat ke DG44. Selain itu, kementerian diminta menyegerakan proses kenaikan pangkat DG44, DG48 dan DG52 kepada semua pegawai terbabit dengan memberi jawatan bertaraf hakiki, bukannya memangku atau Khas Untuk Penyandang seperti amalan sekarang.
“Kementerian juga perlu mengkaji semula kedudukan guru asalnya memiliki diploma pendidikan tetapi kemudian melanjutkan pelajaran hingga memperoleh ijazah agar diberi keistimewaan. “Kebanyakan guru ini sudah berkhidmat lebih 10 tahun, malah ada yang menjawat guru cemerlang, guru penolong kanan hakiki atau guru besar serta menunjukkan prestasi kerja baik tetapi tertinggal berbanding rakan setugas yang tidak melanjutkan pelajaran. “Mereka menjadi mangsa kerana terpaksa menjadi guru baru dan ini akan membantutkan semangat bukan saja di kalangan yang terbabit, malah guru lain yang berhasrat melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah,” katanya.
sumber: berita harian

No comments: