Thursday, July 1, 2010

Berhentilah Bersungut, Cikgu.

"Sejak kebelakangan ini, terlalu banyak rungutan daripada warga pendidik tentang bebanan tugas dan kekurangan masa untuk keluarga. Tidak kurang juga yang meminta-minta gaji dinaikkan. Profesion keguruan dilihat seperti tidak menyeronokkan serta membebankan. Mungkin disebabkan “tekanan jiwa” ada guru yang bersikap melampaui batas menghukum pelajar sehingga mencedera dan mengaibkan pelajar berkenaan.

Namun, benarkah profesion ini begitu membebankan? Sudahkah guru-guru yang merungut itu membuat banding beza dengan profesyen2 lain seperti jururawat, polis, nelayan, petani, pekerja kilang dan seumpamanya? Pernahkah tidur lena mereka diganggu dan diarahkan bertugas serta-merta? Pernahkah mereka diarahkan ke luar daerah dan meninggalkan keluarga tercinta berbulan-bulan lamanya? Pernahkah mereka merasai nyawa seperti telur di hujung tanduk ketika keluar bertugas?

Mengapa prestasi pelajar yang menjadi igauan ngeri? Pelajar seperti apakah yang ingin kita hasilkan? Yang lulus peperiksaankah atau yang seimbang rohani dan jasmaninya? Kalau kita memilih yang pertama maka jadilah kita seperti robot yang menyuap pelajar dengan sebanyak mungkin maklumat supaya mereka dapat jawab soalan. Pelajar mungkin dapat keputusan cemerlang dan berjaya ke IPT. Namun selepas itu mereka akan terima kejutan sebab tiada siapa yang mahu menyuap mereka lagi. Pelajar juga tak tahu memanfaatkan ilmu sebab bagi mereka ilmu adalah untuk lulus periksa dengan cemerlang.

Guru tidak sepatutnya berasa tertekan atau terbeban kerana peranan guru adalah pemudahcara. Justeru, guru perlu bijak melaksanakan strategi pengajaran dan pembelajaran untuk menghasilkan insan yang seimbang. Bukan semata-mata latih-tubi menjawab soalan yang sungguh membosankan bukan sahaja pelajar bahkan guru. Bersyukurlah kita ditakdirkan menjadi guru yang menikmati gaji tetap yang lumayan, pencen, kemudahan pinjaman, kerja setengah hari dan cuti yang banyak. Kalau adapun kelas tambahan cuma sekali dua dalam seminggu. Kalaupun penat lelah membuat kelas tambahan itu tidak dibayar (biasanya berbayar)anggap sahajalah sebagai sedekah amal jariah yang besar ganjarannya.

Berhentilah bersungut dan berlapang dadalah mendidik anak bangsa seperti mana yang diamalkan oleh guru-guru terdahulu yang menerima gaji jauh lebih kecil daripada yang kita nikmati sekarang ini.
http://cglynblog.blogspot.com/2010/06/berhentilah-bersungut-wahai-cikgu.html
"

No comments: