Saturday, February 27, 2010

Dia Pernah Mencintaimu


Dia Pernah Mencintaimu

“Alangkah teringinnya di hatiku andai aku berpeluang bertemu dengan saudara-saudaraku,” ujar Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Suasana hening di pinggiran perkuburan al-Baqi’. Merenung tempat semadi para mukminin yang telah pergi, dan pasti Baginda juga akan menyertai mereka, seperti kita semua.

“Bukankah kami ini juga saudara-saudaramu wahai utusan Allah?” para sahabat melontarkan soalan.

Persoalan.

Jika Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam merindukan saudara-saudaranya, apakah ada saudara yang lain selain mereka, para sahabat?

“Kalian adalah sahabatku. Ada pun saudara-saudaraku yang kumaksudkan, mereka adalah orang-orang beriman yang belum ada!” jawab Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Aneh.

Mencintai insan yang belum ada.

Seandainya seorang anak muda, termenung sedih di jendela angan-angan, runsing menanggung rindu kepada bakal isteri, yang orangnya belum ada… itu sudah menjadi satu kegilaan. Di luar kebiasaan. Perlukan rawatan.

Tetapi tidakkah Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam juga mengungkapkan cinta yang di luar kebiasaan itu? Kematian yang pasti, menjadikan Baginda pasti bahawa peluang untuk bertemu dengan orang-orang beriman di masa-masa mendatang itu mustahil. Tidak kiralah bagaimana rupa mereka, di mana mereka berada, bagaimana keadaannya. Cukup sekadar mengetahui bahawa mereka itu beriman, malah beriman tanpa pernah bertemu dengannya, sudah menyuburkan rasa cinta.

Cinta luar biasa.

Cinta yang menjadikan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam itu berkorban segala-galanya. Cinta itulah yang melimpah dan terus melimpah, hingga kamu yang hidup 1000 tahun selepas pemergiannya, biar sesudut Ceruk Tok Kun sekali pun beradanya kamu, tiada rumah yang tidak diketuk cinta Nabi.

SENYUMAN PERPISAHAN

Tiga hari Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam tidak mampu hadir berjamaah dengan kekasih-kekasih Baginda di masjid. Sakit kepala dan demam baginda semakin menjadi-jadi.

Subuh Isnin, 12 Rabi’ul Awwal tahun ke 11H,

Tatkala Abu Bakr radhiyallaahu ‘anhu membetulkan saf untuk mengimamkan solat, Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam menyelak tabir yang memisahkan bilik Baginda dan ruang solat di Masjid.

“Sungguh takjub. Wajah Baginda seperti lembaran mushaf. Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam semasa memerhatikan kami, Baginda tersenyum dan ketawa kecil. Kami terlalu gembira melihat wajah itu. Abu Bakr sendiri berundur kerana menyangkakan Baginda mahu mengimamkan solat kami. Tetapi Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengisyaratkan agar kami memula dan menyempurnakan solat,” kata Anas bin Malik, Radhiyallahu ‘anhu.

Wajah itu mengubat rindu mereka.

Tiga hari yang hilang warna dan sepi.

Tabir dilabuhkan dan kaum Muslimin meneruskan solat.

Senyuman Baginda itu penuh cinta dan kasih. Senyuman yang kaya dengan kepuasan melihat kaum Muslimin.

Sangka mereka itu senyum kesembuhan.

Rupa-rupanya ia adalah senyuman perpisahan…

Dhuha Isnin, 12 Rabi’ul Awwal tahun ke-11 Hijriah, Kekasih Allah itu pulang ke Teman Tingginya.

“Fee al-Rafeeq al-A’laa, Fee al-Rafeeq al-A’laa...” Baginda menghulurkan telunjuk kirinya ke langit.

“Kembali ke Teman yang Maha Tinggi, Kembali ke Teman yang Maha Tinggi” bibir itu lesu menuturkan sebuah pemergian.

Tangan itu rebah terkulai.

Basah dalam bejana air.

Seperti air mata sekalian umat yang ditinggalkannya.

Baginda wafat dalam jiwa yang penuh kasih sayang. Jiwa yang terselit di lubuk hatinya sebuah kerinduan.

Merindui saudara-saudaranya.

Kita.

SEBUAH PERTANYAAN CINTA

Justeru…

Bertepukkah tanganmu menyambut cinta yang agung itu?

Cintakah kamu kepada Pencinta yang agung itu?

Hati kecil itu tidak mampu berbohong.

Engkau tahu di mana cinta itu di hatimu….

“Tidak sempurna iman sesiapa di kalangan kamu sehinggalah diriku lebih dikasihinya berbanding kasih kepada orang tuanya dan anak bahkan sekalian manusia” [riwayat al-Bukhari, Muslim, an-Nasa’ie dan Ibn Majah]

p/s pagi tadi sempat mendengar kuliah yang disampaikan oleh Ustaz Zawawi dalam rancangan Tanyalah Ustaz di tv9 yang bertajuk Peribadi Rasulullah.Ustaz berkenaan berkata antara tanda kita menyintai Allah dan rasulNya adalah seperti seseorang menyintai@menyukai seseorang yang lain,mendengar saja nama orang yang kita sukai disebut maka kita sudah tersenyum sendirian.Selain itu mendengar saja orang yang kita sukai akan datang maka perasaan kita telah gundah,apa yang perlu dibuat dan sebagainya.Begitulah bagaiman kita mahu mengaplikasikan cinta da rindu kita pada Allah dan Rasulullah saw.Mendengar saja namanya di sebut sudah membuat kita tidak keruan lantaran rindu yang mendalam pada mereka.Tadi baru lepas membaca blog saudara Arif tentang pengalaman seoran pelajar uia bermimpi bertemu Rasulullah maka jiwa mana yang mengaku menyintai Rasulullah tidak menangis merintih hiba memandangkan diri yang penuh noda dan dosa,mana mungkin jiwa yang kotor ini mampu bermimpi bertemu dengannya.Moga Allah memakbulkan doa dan impian ini untuk bermimpi walau seketika cuma bertemu dengan mu walaupun merasa begitu kekurangan mana mungkin dapat bertemudengan mu ya habibullah.

Friday, February 26, 2010

Malaysia Hari Ini (MHI) Sempena Maulid al-Rasul


Malaysia Hari Ini (MHI) Sempena Maulid al-Rasul

Maulid al-Rasul tahun ini ada sedikit kelainan.

Ketika perarakan tiba-tiba menjadi isu yang dipolitik dan disensasikan, ia secara tidak langsung mendesak ramai bertanya, bagaimanakah sebenarnya maksud Maulid al-Rasul?

Sejujurnya, pagi ini saya merasakan kelainan yang menyerlah pada siaran Malaysia Hari Ini di TV3. Bersiaran seawal usai Solat Subuh, minit demi minit tepu dengan pelbagai topik yang melengkapkan jawapan kepada maksud sebenar Maulid al-Rasul. Atau bisa sahaja diungkapkan sebagai makna sebenar menjadi umat kepada seorang Rasul, Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Tuan Shamsuddin Kadir mengisi bicara memperkatakan tentang semangat keusahawanan yang meneladani Sirah Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Demikian juga Ustaz Dr. Zahazan Mohamed pula mengulas tentang kitab Shama’il Muhammadiyyah oleh al-Imam al-Tirmidhi. Tidak dilupakan Encik Zulkifli Mohamad daripada E-QALAM yang hadir mempromosikan Mushaf al-Quran berkod dengan pena digital yang sangat inovatif. Demikian juga tetamu daripada CNI yang menjelaskan tentang polisi Halal di dalam produk jenama berkenaan.

Padat.

Saya tidak mengetahui bagaimanakah sebenarnya bentuk perjalanan Malaysia Hari Ini. Seperti biasa, saya hanya membuat persiapan berbekalkan soalan panduan yang diberikan oleh Ahmad Fedtri Yahya. Bersedia seawal jam 7 pagi di Sri Pentas, saya dijemput ke pentas untuk diwawancara bersama Kak Aisyah, artis Muhajirah yang kita semua kenali. Ahmad Fedtri Yahya berganding dengan Wardina Safiyyah menjadi tuan rumah bagi siaran khas MHI sempena sambutan Maulid al-Rasul kali ini.

Sesi yang berlangsung hingga tamat siaran jam 9 pagi, diserikan pula dengan nasyid oleh kumpulan Em-Basheer daripada UPSI.

Berikut adalah sebahagian daripada nota bual bicara kami pagi tadi:

1. BAGAIMANAKAH YANG DIKATAKAN RASULULLAH S.A.W. ITU KEKASIH SELURUH ALAM

* Firman Allah: [Dan tidaklah Kami utuskan engkau wahai Muhammad, melainkan sebagai rahmat kepada seluruh alam – Surah al-Anbiyaa’ 21: 107]
* Siapakah yang mengutuskan Muhammad? Allah yang Rahman dan Rahim.
* Allah mahu Diri-Nya sentiasa diingati sebagai Tuhan yang Maha Pengasih lagi Penyayang. Kasih sayang itu jugalah yang mendominasi watak seorang insan bernama Muhammad.
* Kasihnya kepada Muslim: Kisah di kubur al-Baqi’, rindu kepada saudara-saudaranya.
* Belasnya kepada bukan Muslim: Hadith riwayat Muslim, Baginda diminta memaki golongan kuffar. Namun dijawab, “aku tidak diutuskan untuk mencela manusia, tetapi sebagai Rahmat kepada seluruh alam”. Dzu Tsur mengambil pedang untuk memenggal leher Baginda… Begitu juga kedudukan Kafir Dhimmi : ganggu kafir dhimmi, ganggu aku, ganggu aku ganggu Allah.
* Belas kepada haiwan: menegah sahabat membakar semut dengan api: Riwayat Abu Daud dengan Isnad yang sahih.

1. Bagaimana menghadapkan Sunnah Baginda SAW

* Peminat Beckham, buat rambut ala Beckham, pakai pakaian seperti Beckham dan membaca segala tentang Beckham. Itu tandanya kita sangat kasih dan mengidolakan Beckham walaupun Beckham tidak pernah mengasihi atau mengenali kita. Malah usahkan Beckham, James Dean dan Marilyn Monroe yang tidak pernah hidup sezaman itu pun ramai peminatnya.
* Justeru manifestasi cinta kita kepada Rasulullah SAW, adalah dengan peduli kepada baginda, mengambil tahu, membaca mengenainya, berkelakuan seperti kelakuan baginda, yakni melaksanakan seluruh pesanan dan ajaran baginda dalam semua aspek kehidupan.
* Ayat al-Quran:

Dan apa jua perintah Yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka Terimalah serta amalkan, dan apa jua Yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang Yang melanggar perintahNya).[al-Hashr 59: 7]

* Berselawat ke atas Baginda SAW sebanyak-banyaknya.

1. Bagaimana mendapat Syafaat Baginda SAW

* Abu Hurairah radhiyallahu `anhu berkata, Wahai Rasulullah shallallahu `alaihi wasallam, siapakah orang yang paling bahagia dengan syafaatmu? Beliau shallallahu `alaihi wasallam menjawab, Siapa saja yang mengucapkan Laa ilaaha illallah dengan ikhlash dari dalam hatinya.
* Syafaat hanya milik Allah:

Katakanlah (Wahai Muhammad): “Syafaat itu semuanya hak kepunyaan Allah; Dia lah Yang Menguasai Segala urusan langit dan bumi; kemudian kamu akan dikembalikan kepadanya (untuk menerima balasan).” [Zumar : 44]

* Hati yang bersih daripada syirik dan meletakkan keutamaan yang tertinggi hanya kepada Allah dan Rasul.

Tamat bersiaran, saya menyambung tugas dengan shooting rancangan Motivasi Pagi bersama Ahmad Fedtri Yahya, untuk siaran bulan Mei dengan tajuk “ANAK-ANAK PERMATA HATI” dan “SAHABAT DUNIA DAN AKHIRAT”.

p/s gambar ni diambil dari blog ustaz Hasrizal.Seronok melihatnya kerana terdapat dua orang sahabat di dalam gambar tu iaitu saudara Fadlullah(tiga dari kanan) dan saudara Naza(dua dari kanan)sama-sama menjadi Majlis Perwakilan Mahasiswa suatu ketika dahulu.

Mengaku cintai Rasul, tetapi dustai ajarannya


BERSYUKUR ke hadrat Illahi kita dipanjangkan usia dan insya-Allah berkesempatan bersama-sama menyambut hari keputeraan baginda Rasulullah s.a.w pada tanggal 12 Rabiulawal (26 Februari) ini.

Mengenang kelahiran, seterusnya mengimbau sirah baginda termasuk pahit getirnya menyerukan Islam, akan terasa betapa dekat diri ini padanya. Namun demikian itu hanya perasaan, hakikatnya kita semakin hari semakin jauh daripada kekasih Allah SWT itu. Apa tidaknya, kita cukup bimbang mulut kita saja berkomat-kamit menyebut nama Rasulullah dalam majlis-majlis seperti berzanji dan sambutan Maulidur Rasul sedangkan cara hidup kita tersasar daripada sunnah baginda.



Memang betul, pada majlis-majlis khas itu, kita begitu terbawa-bawa dalam memuji-muji Rasulullah, malangnya dalam banyak kes kehidupan, secara kita sedar atau tidak kita sebenarnya menghina Islam yang didakwahkan sepenuh jiwa oleh Rasulullah dan sahabat-sahabatnya itu.

Semua peraturan hidup termasuk hukum-hakam yang perlu diikuti oleh manusia sudah termaktub dalam kitab al-Quran dan hadis, tetapi apakah kita termasuk pemerintah, mengikuti atau berusaha bersungguh-sungguh melaksanakannya? Atau kita bermain-main terhadap apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w., mengikuti apa yang kita fikirkan sesuai untuk diri dan menolak apa yang difikirkan tidak sesuai?

Dalam perkembangan semasa di negara kita, kita amat dukacita apabila kes seperti dakwaan liwat dibicarakan luar daripada konteks kehendak Islam. Jelas sekali dalam menangani kes seperti ini Islam tidak diperlukan, lantas apakah maknanya kita meluangkan kecintaan kita kepada Rasululullah s.a.w. pada majlis-majlis khas seperti Maulidur Rasul? Saban tahun pada majlis-majlis seperti ini pemimpin akan beretorik, mengucapkan pesanan penuh syahdu seperti 'teladanilah Rasulullah s.a.w., nescaya kita akan selamat' atau pun 'Rasul adalah contoh ikutan'.

Dengan mengetepikan hukum-hakam Islam, dan kemudian membabitkan diri dalam membuka keaiban orang dalam suasana paling jijik dalam sejarah, tidak malukah kita untuk terus mengaku bahawa kita cintakan Rasulullah s.a.w.? Pada ketika kita begitu hebat melakukan maksiat dengan menghina ajaran Rasul yang pada anggapan kita tidak layak membicara kes seperti liwat ini, bagaimana mulut kita boleh berkomat-kamit menyebut dan memuji-muji Rasul?

Tanyalah diri kita secara jujur, apakah perbicaraan dalam kes liwat ini mengikut kehendak Rasul? Andainya Rasul hidup dan menyaksikan apa yang berlaku ini, apakah baginda akan bersenang hati mendengar puji-pujian kita pada majlis Maulidur Rasul sebaliknya apa yang diajarkan baginda tidak diamalkan dalam kehidupan umatnya? Apa kata Rasul jika diberitahu ada pemimpin mengaku Islam tidak mahu kes ini dibicarakan mengikut undang-undang Islam. Malah mereka menghalangnya daripada dibicarakan di mahkamah syariah.

Kemudian dalam kehidupan kita sendiri di mana kedudukan ajaran Rasul? Misalnya media massa, mengapakah diperincikan kejelekan seseorang yang belum pun didapati bersalah oleh mahkamah sekular. Apakah membuka keaiban seseorang, menelanjanginya itu ajaran Rasul?

Sebenarnya, kita adalah hipokrit paling besar; mendabik dada mengaku cintakan Rasul, tetapi sebenarnya kita penghina ajaran baginda. Ramai daripada kita adalah kaki rasuah, perompak harta negara, pengamal riba dan pemakan duit haram daripada sumber judi dan arak, tetapi sungguh aneh pada sambutan Maulidur Rasul, kita terhegeh-hegeh menjerit memberitahu satu dunia bahawa kita cintakan Rasul.

Contohilah Rasul, jerit pemimpin tetapi merekalah yang ke depan memboloti harta negara, sedangkan Rasul jauh daripada kesenangan dunia. Rumah Rasul terlalu daif, biasanya dapurnya tidak berasap selama beberapa hari. Hari baginda berlalu tanpa tidak berlapar, pakaiannya bertampal, perabot beliau hanya katilnya yang kasar dan apabila meninggal dunia tidak meninggalkan harta. Tidakkah jeritan pemimpin membayangkan kemunafikan mereka

Perutusan sempena Hari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w



Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamiin. Selawat dan salam buat penghulu para pejuang, Rasul tercinta Muhammad s.a.w., para sahabat dan keluarga baginda, serta mereka yang mengikuti jalannya serta mencontohi perilaku baginda hingga ke hari pembalasan.

Sesungguhnya perasaan kita penuh dengan kerinduan kepada Rasulullah s.a.w. Sebagai seorang yang mencintai baginda, tentu sekali kita senantiasa terkenang akan sirah perjuangan dan lakaran pengorbanan Rasulullah s.a.w. sehingga kita semua dapat menerima cahaya keIslaman dan hidayah dari Allah untuk mengecapi nikmat berharga iman dan Islam.


Namun kita sebagai seorang Muslim perlu sentiasa bermuhasabah sejauh manakah kecintaan yang disebut dan diungkapkan ini benar-benar tertanam dengan kukuh di lubuk hati kita? Sejauh manakah kita melakukan apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW dalam lakaran perjuangannya, yang kemudiannya disambung tali-menali hingga ke hari ini?

Marilah kita menghayati firman Allah yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutusmu (Wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai pembawa berita gembira, dan pemberi amaran; akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu)”. (As-Saba’: 28)

Baginda Rasulullah s.a.w. telah pergi meninggalkan kita, dengan sama sekali tidak mewariskan kepada kita harta pusaka kekayaan, tetapi yang diwariskan adalah ilmu yang menjadi panduan hakiki, akhlak yang terpuji, sebuah perjuangan suci dan sebuah cara hidup yang sempurna.

Marilah kita sama-sama menjadikan sambutan ini menguatkan iltizam kita menegakkan sunnah baginda sepanjang tahun dan sepanjang hayat kita. Tidak cukup kita menunjukkan rasa gembira dengan bercuti, mengadakan perarakan dan berslogan mencintai Rasulullah. Akan tetapi gembirakanlah Rasulullah s.a.w. dengan mengamalkan dan menegakkan segala suruhan baginda, serta meninggalkan dan berusaha menghalang segala yang dibenci baginda.

Rasulullah s.a.w. meninggalkan sebuah perjuangan suci sebagai rahmat ke seluruh alam untuk kita sambung dan teruskan. Segala kezaliman, penyelewengan, rasuah, salah guna kuasa, jenayah, yang berlaku pada hari ini hatta dari seorang yang mengaku Islam, menunjukkan jauhnya si pelakunya dari tinggalan Rasulullah s.a.w. walau dia menyambut kelahiran baginda saban tahun.

Marilah sama-sama kita pasakkan keazaman untuk menyambung perjuangan Rasulullah s.a.w. hingga ke akhir hayat kita. Sebagai seorang individu, marilah pula kita menghayati dan mengamalkan peninggalan Rasulullah s.a.w. Seorang pemimpin meletakkan azam untuk menegakkan sunnah di dalam kepimpinannya. Sebuah kerajaan lebih-lebih lagi berkomited mengamalkan segala suruhan Allah SWT dan Rasul s.a.w. di dalam segala aspek pentadbirannya.

Semoga kita semua bertambah cinta kepada Rasulullah s.a.w. dan beroleh cinta Allah dan Rasul-Nya. Selamat menyambut Maulidur Rasul 1431.

Wednesday, February 24, 2010

Tariq bin Ziyad: Penakluk Andalusia



Kedatangan Islam ke Andalusia (Sepanyol) bukan sahaja membawa cahaya tauhid malah membebaskan rakyat negara itu dari penindasan serta kezaliman. Ketika itu Sepanyol diperintah oleh Raja Roderic yang berbangsa Gothic. Dia dan orang-orangnya hidup penuh kemewahan sedangkan rakyat dibiarkan dalam kesengsaraan. Para petani dipaksa membayar cukai yang tinggi.

Kaum wanita terutama anak-anak gadis yang cantik berasa tidak selamat kerana sering diperkosa oleh Raja Roderic ataupun konco-konconya. Mereka yang cuba melawan dibunuh malah ada yang dibakar hidup-hidup. Akibat penindasan yang tidak berperikemanusiaan itu, rakyat hidup dalam ketakutan. Ramai antara mereka terpaksa melarikan diri ke Afrika, sebuah negara yang aman makmur di bawah pemerintahan kerajan Islam.

Panglima Julian iaitu Gabenor Ceuta, menaruh perasaan marah dan dendam kepada Raja Roderic kerana memperkosa Florida, puterinya yang cantik jelita. Bagi membalas dendam kepada raja yang zalim itu, dia berangkat ke Afrika lalu menghadap Musa bin Nusair, wakil khalifah Islam di Afrika. Julian meminta bantuan tentera Islam bagi menumbangkan pemerintahan Raja Roderic.

Bagai pucuk dicita ulam mendatang, Musa bin Nusair segera mempersiapkan sebuah angkatan perang seramai 12 belas ribu orang bagi menawan Andalusia (Sepanyol) serta membebaskan rakyat negara itu daripada penindasan. Dia melantik Tariq bin Ziyad bagi memimpin angkatan perang itu.

Dengan menaiki 12 buah kapal perang, tentera islam menuju ke benua Eropah itu. Selepas mendarat di Andalusia, Tariq bin Ziyad segera memerintahkan kapal-kapal perang yang mereka naiki dibakar. Pada mulanya, tindakan itu mendapat bantahan daripada sebahagian besar tentera Islam. Mereka menganggap perbuatan itu kurang siuman dan bertentangan dengan hukum Islam yang melarang merosakkan harta benda awam. Apatah lagi, kapal perang kepunyaan mereka sendiri. Mereka juga mempersoalkan bagaimana hendak pulang ke tempat asal apabila kapal yang mereka naiki sudah dibakar.

Untuk memecahkan kebuntuan tenteranya, Tariq bin Ziyad segera mengumpulkan tenteranya di sebuah bukit yang kini dikenali nama Gibraltar (Jabal Tariq) lalu Tariq bin Ziyad berucap dengan ucapannya yang terkenal sehingga ke hari ini,

"Wahai saudara-saudaraku, di belakang kita laut, dihadapan kita musuh. Kita tidak dapat melarikan diri. Demi Allah, kita datang ke sini bagi syahid ataupun mencapai kemenangan. Dan kita tidak akan pulang sebelum mencapai matlamat itu!"


Jabal Tariq pada hari ini

Kata-kata keramat Tariq bin Ziyad itu berjaya meniupkan kambali semangat jihad di kalangan tentera Islam. Dengan semangat yang berkobar-kobar mereka mara menentang tentera Raja Roderic yang berjumlah 100 ribu orang.

Tariq bin Ziyad asalnya seorang hamba atau budak suruhan milik Musa bin Nusair. Dia akhirnya dilantik oleh Musa bin Nusair menjadi pembantunya kerana mempunyai sifat-sifat yang terpuji. Seterusnya diberi kepercayaan memimpin 12 ribu tentera Islam ke Andalusia. Pada mulanya tujuan penghantaran tentera adalah bagi meninjau keadaan tempat dankekuatan musuh sebagai persediaan menunggu ketibaan tentera yang akan dipimpin oleh Musa bin Nusair. Tetapi Tariq bin Ziyad berfikiran sebaliknya. Dia menganggap mereka Andalusia demi mati syahid ataupun mengalahkan musuh. Oleh itu, dia sanggup membakar kapal perang yang mereka naiki supaya tentera Islam di bawah pimpinannya tidak bercita-cita untuk pulang ke tanah air.

Pada 19 Julai 711 masihi, terjadilah pertempuran antara tentera islam yang dipmpin oleh Tariq bin Ziyad dengan tentera Gothic yang dipimpin oleh Raja Roderic. Peristiwa itu berlaku berhampiran dengan sungai Barbat kerana di situlah tentera Gothic berkumpul bagi menghalang kemaraan tentera Islam. Walaupun pasukan tentera Islam jauh lebih kecil berbanding musuh ditambah pula dengan kelengkapan senjata yang serba kekurangan namun dengan semangat jihad yang membakar dalam diri, mereka berjaya memberi pukulan hebat kepada musuh. Akhirnya, tentera Gothic tewas dan Raja Roderic mati lemas di sungai Barbat ketika cuba melarikan diri.

Kekalahan itu amat memalukan tentera Gothic lalu mereka mengumpul semula kekuatan bagi mengusir tentera Islam daripada tanah air mereka. Tetapi tentera Islam bertambah kuat dengan kedatangan tentera tambahan dari Afrika yang dipimpin sendiri oleh Musa bin Nusair.

Kemudian terjadilah satu lagi pertempuran paling sengit di Ecija. Dalam pertempuran itu, tentera yang dipimpin oleh Tariq bin Ziyad bergabung dengan tentera yang dipimpin oleh Musa bin Nusair. Dan sekali lagi tentera Islam mencapai kemenangan. Tariq bin Ziyad belum berpuas hati dengan kemenangan itu. Dengan persetujuan Musa bin Nusair, tentera Islam dibahagikan kepada empat pasukan sebelum dihantar ke Cordoba, Malaga dan Granada. Tariq bin Ziyad sendiri memimipin pasukan utama menuju ke Toledo, ibu kota Andalusia. Keempat-empat kota itu dapat ditakluki dengan mudah oleh tentera Islam tanpa mendapat tentangan sengit.

Al-Hambra yang bermaksud "Yang berwarna merah" merupakan kubu dan istana kerajaan Islam di Granada.

Antara faktor kejayaan gemilang tentera Islam di Andalusia kerana rakyat negara itu sememangnya sudah benci dengan pemerintahan Raja Roderic yang zalim. Oleh itu, kedatangan tentera Islam dianggap sebagai penyelamat malah ada yang sanggup bergabung dengan tentera Islam bagi memerangi tentera Gothic.

Rakyat Andalusia yang sekian lama hidup menderita di bawah kekuasaan tentera Gothic tertarik dengan dengan kebaikan perilaku tentera Islam. Seorang ahli sejarah Philip K.Hitti berkata,

"Penaklukan Sepanyol merupakan perjuangan pertama dan terakhir yang paling sensasi bagi bangsa Arab. Mereka berjaya menakluki wilayah Eropah yang paling luas ke dalam kekuasaan Islam."

Penaklukan Andalusia oleh orang-orang Islam mendorong timbulnya revolusi sosial di mana kebebasan beragama benar-benar diakui. Rakyat Andalusia yang sudah lama menderita akibat penindasa digantikan dengan kebaikan pemerintahan Islam.

Rakyat tidak lagi merasa tertindas dan harta mereka terpelihara. Paderi-paderi Kristian yang pada mulanya menyembunyikan diri kerana khuatir dengan tindak balas orang-orang Islam kembali semula ke kampung halaman bagi memulakan kehidupan baru di bawah kekuasaan Islam yang adil.

Tariq bin Ziyad bercadang hendak menakluk seluruh Eropah. Tetapi manusia cuma merancang, Allah yang menentukan. Ketika persiapan sedang giat dilakukan, tiba-tiba Tariq bin Ziyad diperintahkan oleh khalifah kembali ke Damsyik. Sebagai panglima tentera yang berdisiplin, dia mematuhi arahan itu. Niat mahu menakluki Eropah terpaksa dibatalkan. Tariq bin Ziyad maninggal dunia di Damsyik. Namanya tercatat dalam sejarah sebagai panglima yang menggerunkan pasukan tentera Sepanyol di bawah pimpinan Raja Roderic. Hingga kini, Gibraltar atau asalnya Jabal Tariq yang bermakna Bukit Tariq masih abadi di Andalusia, Sepanyol.

Atas usahanya, kerajaan Islam al-Andalus bertapak di Sepanyol selama 781 tahun. Di Sepanyol beliau telah menjadi legenda sehingga digelar "Tariq El-Tuerto" yang bermaksud "Tariq bermata satu". Semoga Allah merahmatinya. Amin.

Tuesday, February 23, 2010

Senyuman mayat aktivis HAMAS dibunuh agen Mossad


"Mahmud Mabhuh, aktivis HAMAS yang dibunuh agen Mossad di Dubai ditunjukkan gambarnya dalam keadaan senyum. (artikel dahulu). Cara pembunuhannya seperti filem Hollywood atau Bollywood seperti cerita di bawah.

Yahudi dan agen Yahudi dikenali semenjak lama sebelum Nabi Muhammad SAW sebagai bangsa jahat. Mereka membunuh Nabi dan pengikut Nabi. Nabi Muhammad SAW sendiri pernah hendak diassasinate oleh Yahudi dengan mencampakkan batu besar dari atas rumah tempat Nabi SAW berteduh. Allah mengkhabarkannya kepada Baginda melalui Jibril as. Sheikh Ahmad Yaasin berderai kepalanya akibat peluru berpandu dari Apache.


Serpihan darah dan daging memenuhi jalan dan dinding rumah. Tetapi wajahnya seakan tersenyum ‘menerima akibat’ dari sebuah jihad. Isteri saya ngeri apabila melihat wajah mayat-mayat yang mati secara ngeri, tetapi tidak wajah Sheikh Ahmad Yaasin. Para syuhada Palestin ramai yang wajahnya demikian. Barangkali inilah yang disebut oleh Nabi SAW, mafhumnya: ‘Sesiapa yang kasih bertemu Allah, Allah kasih bertemunya’. (kuliah audio)





Cara Mossad bunuh Mahmoud

GAMBAR rakaman kamera litar tertutup menunjukkan Mahmoud (dalam bulatan) diekori oleh dua pembunuhnya di Hotel Al Bustan Rotana, Dubai pada Januari lalu.


--------------------------------------------------------------------------------
NEW YORK – Seperti filem di Hollywood mengenai kisah pembunuhan.
Akhbar New York Post kelmarin menyenaraikan cara satu skuad pembunuhan membunuh seorang komander Hamas, Mahmoud al-Mabhouh di sebuah hotel mewah di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada Januari lalu.

Skuad pembunuhan itu sebelum ini dikaitkan dengan agensi perisikan Mossad milik Israel.

Menurut akhbar itu, Mahmoud yang dilahirkan di Kem Jabalia di Genting Gaza pada 1960 pernah menculik dan membunuh dua askar Israel pada 1989 di Palestin.

Selepas pembunuhan itu diketahui oleh umum, Israel berikrar akan membalas dendam manakala Mahmoud melarikan diri tetapi dia tidak keluar daripada pergerakan Hamas.

Mahmoud kemudiannya dilaporkan menyeludup senjata api dan bahan letupan kembali ke Gaza dari Syria yang merupakan tempat tinggalnya yang baru.

Lebih 20 tahun lalu, dia membantu Hamas mendapatkan peluru peluru berpandu buatan Iran yang mampu terbang ke negara-negara jirannya.

Komander Hamas itu hampir dapat ditangkap Israel tetapi dia berjaya menyeludup masuk ke Syria.

Namun, pihak perisikan Israel kemudiannya mendapat maklumat bahawa Mahmoud akan berada di Dubai pada bulan lalu untuk membeli senjata api dari penjual senjata Iran.

Komander Hamas itu kemudian menempah penerbangan menerusi Internet.

Apabila Mahmoud tiba di Dubai, dia menghubungi isterinya dan memberitahu lokasi tempat tinggalnya.

Beberapa pegawai Hamas mengaku tindakan Mahmoud menghubungi isteri itu mendedahkan dia pada bahaya.

Ia merupakan waktu terbaik untuk melakukan serangan.

Berdasarkan bukti yang ditemui menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan pasport yang dipalsukan, pihak berkuasa Dubai memutuskan bahawa terdapat satu skuad elit membunuh Mahmoud.

Skuad pembunuh yang didakwa pihak berkuasa Dubai seramai 17 orang termasuk seorang wanita menggunakan muslihat dan taktik yang biasanya dapat dilihat dalam novel-novel tulisan bekas diplomat Amerika Syarikat (AS), Jason Bourne.

Ketua Polis Dubai, Dahi Khalfan Tamim percaya 99 peratus bahawa Mossad merupakan dalang pembunuhan Mahmoud.

Walaupun mendapat kritikan antarabangsa, Israel tidak mengesahkan atau menafikan melakukan operasi membunuh Mahmoud.

Apa yang diketahui ialah satu pasukan yang mendapat latihan tinggi memasuki Dubai untuk melakukan operasi itu yang berlanjutan selama 10 jam.

Operasi itu bermula lewat malam pada 19 Januari lalu.

Menjejaki komander Hamas itu bermula apabila dua ejen lelaki berlepas ke Dubai dengan membawa pasport yang mengisytiharkan namanya sebagai Michael Bodenheimer dan James Leonard Clarke iaitu masing-masing dari Jerman dan Britain.

Tidak lama kemudian, sebuah lagi pesawat yang membawa seorang wanita kurus lampai berumur dalam lingkungan 30-an, memakai cermin mata dan mendakwa dari Ireland dengan menggunakan nama Gail Folliard tiba.

Wanita itu terbang dari Paris dengan seorang lelaki Ireland, Kevin Daveron berdasarkan nama pada pasport palsu.

Kamera pemantauan Dubai merakamkan imej empat orang berkumpul di sebuah lapangan terbang di bandar raya itu.

Mereka kemudian berpecah.

Wanita kurus lampai itu mendaftar masuk ke hotel Al Bustan Rotana yang didiami komander Hamas tersebut.

Tidak lama kemudian, seorang lelaki yang menggelarkan dirinya, Peter Elvinger mendakwa dari Perancis melakukan perbuatan sama dengan wanita berkenaan.

Dia mendaftar di bilik 237 tidak jauh dari bilik Mahmoud.

Dua lagi ejen yang dapat dilihat pada kamera CCTV itu menuju ke sebuah hotel lain.

Pada keesokan harinya, terdapat 17 orang dari pasukan pembunuh berada di Dubai dengan menggunakan pasport palsu.

Mangsa mereka ialah Mahmoud.

Kamera litar tertutup menunjukkan komander Hamas itu mengembara seorang diri yang dianggap sebagai pilihan yang mencetuskan tanda tanya bagi seorang lelaki sepertinya yang mempunyai beberapa pengawal peribadi dan mengetahui dia berada dalam senarai orang dikehendaki Israel.

Menurut akhbar Daily Mail, Mahmoud yang tiba di Dubai diekori oleh satu pasukan peninjau itu yang dibantu dengan alat pengesan diletakkan di kereta sewanya.

Dia antara anggota pasukan itu ialah Daveron yang menggunakan rambut palsu untuk menyembunyikan kepalanya yang botak.

Di hotel tersebut, wanita yang kurus lampai itu menunggu di lobi.

Dia menghabiskan masa pada waktu pagi dengan membeli-belah di kedai mewah, bermain cinta dengan kerani hotel dan melihat pintu depan hotel.

Pembunuh itu tidak bercakap antara satu sama lain secara terus.

Menurut akhbar-akhbar Israel, mereka berkomunikasi dengan menggunakan telefon bimbit yang perbualannya tidak dapat dikesan.

Apabila Mahmoud mendaftar masuk ke hotel al Bustan, Daveron dan wanita kurus lampai itu berundur dan dua lagi ejen muncul.

Kamera CCTV menunjukkan dua lelaki berambut hitam mengekori komander Hamas itu semasa dia berjalan ke lif.

Dengan membawa raket tenis, seluar pendek, baju T dan kasut sukan dengan stoking putih, lelaki-lelaki tersebut tidak mencetuskan syak wasangka Mahmoud.

Pada pukul 8 malam, semasa Mahmoud berada di dalam bilik hotel, skuad pembunuh itu bersedia untuk bertindak.

Wanita kurus lampai itu dilihat tersenyum menerusi kamera CCTV dengan memakai rambut palsu membuat tinjauan terakhir di depan bilik Mahmoud.

Dia kemudian menghilangkan diri. Empat orang lelaki muda yang mengembara dalam dua kumpulan pergi ke bilik komander Hamas itu.

Namun yang mencetuskan misteri ialah bagaimana ejen-ejen itu memasuki bilik Mahmoud dan apakah yang terjadi pada pintu bilik komander Hamas tersebut.

Itu yang menyebabkan pihak berkuasa Dubai kehairanan.

Adakah lelaki itu mengetuk dan berpura-pura seperti kakitangan hotel?

Atau adakah sebagai suspek mereka memasuki bilik itu dengan menggunakan gajet perisikan yang canggih?

Beberapa minit selepas pukul lapan malam, mereka sudah memasuki bilik Mahmoud.

Empat puluh minit kemudian, komander Hamas itu ditemui mati.

Ejen-ejen itu meletakkan lampu meja tidur berjauhan dan menggantungkan wayar itu pada satu gajet yang membunuh Mahmoud dengan kejutan elektrik.



Beberapa penyiasat percaya anggota-anggota skuad pembunuh itu cuba untuk mewujudkan seperti serangan jantung sebelum melemaskannya dengan menggunakan bantal.

Terdapat kesan terbakar pada dadanya.

Pada pukul 8.46 malam empat pembunuhnya dengan tenang keluar dari biliknya dan skuad pembunuh itu berkumpul semula di sebuah lif selain meletakkan tanda jangan ganggu di depan bilik Mahmoud.

Empat orang daripada skuad itu meninggalkan hotel tersebut selang beberapa minit dengan memakai pakaian seperti mereka mahu pergi bermain golf.

Wanita tinggi lampai itu dan baki pasukan pembunuh itu keluar dari Dubai dalam tempoh dua jam dengan menuju ke distinasi berlainan serta menaiki penerbangan berbeza.

Kakitangan hotel kemudian menemui mayat Mahmoud pada waktu pagi.

Apa yang anehnya ialah, bilik dikunci dari dalam.

Pihak berkuasa Dubai masih memikirkan bagaimana pembunuh tersebut mendapat kad kredit berpangkalan di AS untuk membiayai operasi pembunuhan tersebut.

Namun, terdapat spekulasi bahawa wujud seorang lagi pembunuh yang memanjat bilik Mahmoud dan keluar dari biliknya.

Bekas penganalisis Asia Barat untuk Jabatan Pertahanan AS, Graeme Bannerman menyatakan terdapat kemungkinan pembunuh itu tidak mengetahui bahawa di Dubai, terdapat kamera litar tertutup yang merakamkan setiap geri mereka.

Secara faktanya, pembunuh itu dianggap amatur kerana gambar mereka dirakamkan oleh kamera litar tertutup sehingga menyebabkan ada tanggapan bahawa Israel dianiayai oleh sebuah saingan perisikan yang mahu pembunuhan Mahmoud dipersalahkan ke atas Mossad.

“Orang ramai boleh berkata bahawa ia bukannya profesional seperti dikendalikan Mossad kerana pada kebiasaannya tidak ada kesan ditinggalkan oleh agensi perisikan itu.

“Namun, apa yang pasti keberkesanan (operasi bunuh itu) telah diperkatakan,” kata Bannerman.

“Pada masa ini, dengan terdapat kamera pemantauan, suasana tidak seperti pada 30 tahun lalu.

“Ia sukar untuk melakukan (pembunuhan) pada zaman kini.

“Namun, di Israel, tidak ada sesiapa pun yang mempersoalkan ia (pembunuhan) itu telah dilakukan oleh Mossad,” tambahnya.

Pada perkembangan terbaru, Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman kini sedang berunding dengan beberapa pegawai di Eropah bagi meyakinkan bahawa negaranya tidak mempunyai kaitan dengan penggunaan pasport palsu oleh pembunuh Mahmoud.

Pembunuh komander Hamas itu memasuki Dubai dengan menggunakan pasport Britain, Ireland, Perancis dan Jerman. – Agensi

KEKASIH KITA SAW

Bismillah wal hamdulillah..detiknya tiba kembali. Dari tahun ke tahun detik ini sentiasa berlaku namun diri yang kerdil ini sentiasa melupakanmu di setiap perbuatanku. Walaupun terdapat khilaf di kalangan ulama samada kelahiran Rasulullah saw pada 12 atau 9 rabiulawal namun yang pasti hari itu pasti datang. Apakah persiapan kita dalam menyambut peristiwa yang besar impaknya pada umat manusia.Dikalangan para ulama begitu membesarkan peristiwa kelahiran junjungan besar ini. Mereka beralasan sekiranya kekasih junjungan ini tidak dilahirkan masakan ada semua syariat yang terdapat sekarang ni. Walaupun terdapat pelbagai pendapat bilakah bermulanya sambutan kelahiran Rasulullah ini, ada yang mengatakan bermula sewaktu pemerintahan fatimiyyah, ada yang mengatakan berlaku setelah kekalahan abbasiyyah kepada tentera monggol dan tidak kurang yang menyatakan berlaku sewaktu pemerintahan Salahuddin Al Ayyubi dan walau bagaimana pun cara sambutannya, kita sewajarnya kembali kepada tujuan asal diadakan sambutan ini bukan sekadar memperingati Rasulullah pada hari-hari tertentu saja malahan lebih besar pada itu mahu mengembalikan keizzahan serta syariat Allah kembali tertegak di muka bumi Allah swt.

ASSALAMUA'LAIKA YA RASULULLAH, kami menyintai mu ya RAsulullah melebihi diri kami,keluarga kami,harta kami hatta nyawa kami."ya allah ya tuhan kami jadikanlah ungkapan kami ini bukan setakat dibibir malah mengalir harum di dalam urat-urat kami dan seluruh saraf kami,lahirkan di dalam hati kami kecintaan kepada KekasihMu kerana tanpa kecintaan kepada kekasih Mu masakan kami memperolehi cinta Mu ya Allah'

Sunday, February 21, 2010

BARISAN DI AKHIRAT



Suatu ketika, Muaz bin Jabal r.a. menghadap Rasulullah S.A.W. dan bertanya kepada baginda:

“Wahai Rasulullah S.A.W., tolong huraikan kepadaku mengenai firman Allah S.W.T”

Erti firmanNya;

“Pada sangkakala ditiup, maka kamu sekalian datang berbaris-baris”
(Surah al-Naba’)

Mendengar pertanyaan ini, baginda menangis dan basah pakaian dengan air mata. Lalu menjawab;

“Wahai Muaz, engkau telah bertanyakan kepadaku perkara yanag amat besar bahawa umatku masing-masing dengan pembawaan diri mereka sendiri.”

Maka Rasulullah menyatakan setiap barisan yang sebanyak 12 barisan.

BARISAN PERTAMA

Diiringi dari kubur dengan tidak bertangan dan berkaki. Keadaan mereka dijelaskan melalui satu seruan dari sisi Allah Yang Maha Pengasih;

“Mereka itu adalah orang yang sewaktu hidupnya menyakiti hati jirannya. Maka demikian balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KEDUA

Diiringi dari kubur dalam berbentuk babi hutan. Datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih;

“Mereka itu adalah orang yang sewaktu hidupnya meringan-ringankan solat. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KETIGA

Mereka berbentuk keldai, sedangkan perut mereka penuh dengan ular dan kala jengking.

“Mereka itu adalah orang yang enggan membayar zakat. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KEEMPAT

Diiringi dari kubur dengan keadaan darah seperti air pancutan keluar dari mulut mereka.

“Mereka adalah orang yag berdusta di dalam jual beli. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KELIMA

Diiringi dari kubur dengan bau busuk daripada bangkai. Ketika itu,Allah S.W.T. menurunkan angin sehingga bau busuk itu mengganggu ketenteraman di Padang Mahsyar.

“Mereka itu adalah orang yang menyembunyikan perlakuan derhaka kerana takut diketahui manusia,tetapi tidak pula rasa takut kepada Allah S.W.T. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KEENAM

Diiringi dari kubur dengan keadaan kepala mereka terputus dari badan.

“Mereka adalah orang yang menjadi saksi palsu. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KETUJUH

Diiringi dari kubur tanpa mempunyai lidah dari mulut mereka mengalir nanah dan darah.

“Mereka itu adalah orang yang enggan member kesaksian di atas kebenaran. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KELAPAN

Diiringi dari kubur dalam keadaan terbalik dengan kepala ke bawah dan kaki ke atas.

“Mereka adalah orang yang berbuat zina. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KESEMBILAN

Diiringi dari kubur dengan wajah hitam gelap dan bermata biru sementara di dalam diri mereka penuh dengan api gemuruh.

"Mereka adalah orang yang memakan harta anak yatim dengan cara yang tidak sepatutnya, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka."

BARISAN KESEPULUH

Diiringi dari kubur dalam keadaan tubuh mereka penuh dengan sopak dan kusta.

"Mereka adalah orang yang derhaka kepada ibu bapa. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka."

BARISAN KESEBELAS

Diiringi dari kubur dalam keadaan buta mata kepala,gigi mereka memanjang seperti tanduk lembu jantan, bibir mereka melebar sampai ke dada dan lidah mereka terlanjur memanjang sampai ke perut mereka dan keluar beraneka kotoran.

"Mereka adalah orang yang meminum arak. Maka inilah balsannya dan tempat kembali mereka adalah neraka."



BARISAN KEDUA BELAS

Mereka diiringi dari kubur dengan wajah yang bersinar-sinar laksana bulan purnama. Mereka melalui titian sirat seperti kilat. Maka datang suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih memaklumkan;

"Mereka adalah orang yang banyak berbuat baik. Mereka menjauhi perbuatan derhaka, memelihara solat, ketika meninggal dunia keadaan mereka sudah bertaubat. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah syurga, mendapat keampunan, kasih sayang dan keredhaan Allah Yang Maha Pengasih.”

Petiklah Bunga Itu Wahai Kumbang Sakti!

(Surat Terbuka Seorang Ikhwan untuk Seluruh
Akhwat di Dunia)

Ukhtifillah,
Mungkin aku memang tak romantis tapi siapa
peduli?
Karena toh kau tak mengenalku dan memang tak
perlu mengenalku.
Bagiku kau bunga, tak mampu aku samakanmu
dengan bunga terindah sekalipun.
Bagiku manusia adalah makhluk yang terindah,
tersempurna dan tertinggi.
Bagiku dirimu salah satu dari semua itu,
karenanya kau tak membutuhkan persamaan.

Ukhtifillah,
Jangan pernah biarkan aku manatapmu penuh,
karena akan membuatku mengingatmu.
Berarti memenuhi kepalaku dengan inginkanmu.
Berimbas pada tersusunnya gambarmu dalam tiap
dinding khayalku.
Membuatku inginkanmu sepenuh hati, seluruh jiwa,
sesemangat mentari.
Kasihanilah dirimu jika harus hadir dalam khayalku
yang masih penuh Lumpur.
Karena sesungguhnya dirimu terlalu suci.

Ukhtifillah,
Berdua menghabiskan waktu denganmu bagaikan
mimpi tak berujung.
Ada ingin tapi tak ada henti.
Menyentuhmu merupakan ingin diri, berkelebat
selalu, meski ujung penutupmu pun tak berani
kusentuh.
Jangan pernah kalah dengan mimpi dan inginku
karena sucimu kaupertaruhkan.
Mungkin kau tak peduli
Tapi kau hanya menjadi wanita biasa di hadapanku
bila kau kalah.
Dan tak lebih dari wanita biasa.

Ukhtifillah,
Jangan pernah kautatapku penuh
Bahkan tak perlu kaulirikkan matamu untuk
melihatku.
Bukan karena aku terlalu indah, tapi karena aku
seorang yang masih kotor.
Aku biasa memakai topeng keindahan pada wajah
burukku, mengenakan pakaian sutra emas.
Meniru laku para rahib, meski hatiku lebih kotor
dari Lumpur.
Kau memang suci, tapi masih sangat mungkin kau
termanipulasi.
Karena kau toh hanya manusia-hanya wanita.

Ukhtifillah,
Beri sepenuh diri pada dia sang lelaki suci yang
dengan sepenuh hati membawamu kehadapan
Tuhanmu.
Untuknya dirimu ada, itu kata otakku, terukir dalam
kitab suci, tak perlu dipikir lagi.
Tunggu sang lelaki itu menjemputmu, dalam
rangkaian khitbah dan akad yang indah.
Atau kejar sang lelaki suci itu, karena itu adalah
hakmu, seperti dicontohkan ibunda Khadijah.
Jangan ada ragu, jangan ada malu, semua terukir
dalam kitab suci.

Ukhtifillah,
Bariskan harapanmu pada istikharah sepenuh hati ikhlas.
Relakan Allah pilihkan lelaki suci untukmu,
mungkin sekarang atau nanti,
bahkan mungkin tiada sampai kau mati.
Mungkin itu berarti dirimu terlalu suci untuk semua lelaki di fana saat ini.
Mungkin lelaki suci itu menanti di istana kekalmu,
yang kau bangun dengan segala kekhusyu'an
tangis do'amu.

Ukhtifillah,
Pilihan Allah tak selalu seindah inginmu, tapi itu
pilihan-Nya.
Tak ada yang lebih baik dari pilihan Allah.
Mungkin kebaikan itu bukan pada lelaki yang
terpilih itu, melainkan pada jalan yang kaupilih,
seperti kisah seorang wanita sudi di masa lalu
yang meminta ke-Islam-an sebagai mahar pernikahannya.
Atau mungkin kebaikan itu terletak
pada keikhlasanmu menerima keputusan Sang Kekasih Tertinggi.
Kekasih tempat kita memberi semua cinta dan menerima cinta
dalam setiap denyut nadi kita.
---

jika Allah sudah meredhainya,
petiklah bunga itu wahai kumbang sakti
moga sayap kiri itu akan membantu dirimu di atas jalan ini

p/s artikel ni di ambil dari iluvislam.com.Jangan disalahtafsirkan artikel ini, ambillah ia dari sudut positif untuk iktibar kepada kita bersama. Wahai semua muslimah di seluruh dunia,bangkitlah menjaga kesucianmu dari dinodai keindahan dunia yang menipu daya. Besarlah harapan kaum adam melihatmu terpelihara.wallahualam