Tuesday, July 27, 2010

Guru siswazah dibenarkan berpolitik semula

Bermula 1 Ogos ini, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 akan dibenarkan melibatkan diri dalam politik, demikian diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.


Menurut Mohd Sidek, langkah itu berlandaskan hakikat bahawa guru suatu masa dahulu memain peranan penting dalam memimpin masyarakat dalam senario politik negara.

"Masanya sudah tiba mereka dibenar aktif semula dalam politik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi tujuan itu, beliau berkata pindaan Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Tindakan sedang diambil untuk mewartakawan pindaan peraturan tersebut, tambahnya.

Sebelum ini, Peraturan 21(2) peraturan tersebut menetapkan hanya pegawai dalam Kumpulan Sokongan boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik dengan syarat terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan.

Di
bawah peraturan baru ini, pegawai pendidikan, selain pengetua atau guru besar di institusi pendidikan dan pegawai yang memegang apa-apa jawatan pentadbiran dalam mana-mana agensi kerajaan, perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dahulu.

"Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran tidak boleh mewakilkan kuasanya untuk memberikan kelulusan bertulis itu kepada mana-mana orang lain dan apa-apa keputusan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran adalah muktamad," kata Mohd Sidek.

Beliau berkata syarat-syarat ketat akan dikenakan agar tugas dan fokus utama golongan itu iaitu mendidik tidak terjejas dengan penglibatan mereka dalam politik.

Katanya mereka yang dibenarkan terlibat dalam politik kelak hendaklah mematuhi sepenuhnya Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, termasuk batasan tugas mereka sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan dengan aktiviti dalam politik.

- Bernama

Monday, July 26, 2010

Bantu pelajar miang mahu berkahwin

AYER KEROH - Kerajaan Negeri akan membantu pelajar yang ‘miang’ mahu berkahwin bagi membendung maksiat dan zina berleluasa di negeri yang terkenal dengan aktiviti pelancongan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, berkahwin muda bukanlah sesuatu yang pelik dan mengarut tetapi jalan penyelesaian masalah sosial yang ditimbulkan pelajar serta remaja.

“Daripada masalah buang bayi akibat hubungan tidak sah menjadi semakin banyak di negeri ini, baik kita benarkan mereka bernikah yang sudah tentu akan melahirkan anak hasil hubungan halal.

“Bagi remaja yang masih bersekolah tetapi mahu berkahwin dan tidak mendapat kebenaran ibu bapa, mereka boleh mengadu kepada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan pihak JAIM akan bertemu, memujuk ibu bapa serta berbincang supaya membenarkan anak mereka berkahwin,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Ulang Tahun Ketiga Kampung Buku dan Pelancaran Buku Makan-makan dan Membeli-belah, di sini, semalam.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Othman Mohamad; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Yaakub Md Amin dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Hang Tuah Jaya, Linda Phua Sue Lin.

Mohd Ali berkata, kebanyakan remaja kini melahirkan anak luar nikah kerana tidak dapat mengawal nafsu.

“Biasalah remaja tengah miang, nak kahwin ibu bapa tak benarkan dan disebabkan tidak dapat kawal nafsu, akhirnya mereka melakukan hubungan luar nikah menyebabkan lahirnya anak hasil hubungan tidak sah.

“Tetapi jika mereka berkahwin dalam usia muda, mereka boleh lakukan hubungan yang halal dan jika perempuan itu mengandung pihak sekolah tidak membenarkannya ke sekolah dan mereka boleh masuk Sekolah Murid Mengandung yang Kerajaan Negeri mahu tubuhkan," katanya.

Mengulas idea penubuhan Sekolah Murid Mengandung yang mendapat reaksi negatif Kementerian Pelajaran, Mohd Ali berkata, sekolah itu tetap diteruskan, sama ada mendapat sokongan atau tidak.

“Kerajaan negeri akan terus membina sekolah untuk pelajar perempuan mengandung secara sah tetapi tidak diterima belajar di sekolah biasa.

“Apa pilihan yang ada? Inilah caranya bagi mengelakkan maksiat dan zina berlaku di kalangan pelajar di negeri ini," katanya.

p/s satu langkah yang baik.Sebagai sebuah kerajaan sepatutnya menggalakkan perkahwinan daripada membiarkan zina berleluasa.Kerajaan persekutuan sepatutnya meniru langkah ini.Cuma perkataan pelajar miang tidak sepatutnya digunakan kerana ini fitrah manusia.Mengatakan pelajar miang seperti menyalahkan takdir Allah swt tentang naluri manusia.Semua pihak harus menyokong usaha ini termasuk ibubapa supaya tidak merumitkan urusan perkahwinan berhubung dengan isu mahar dan sebagainya.Salah satu lagi langkah yang boleh diambil bagi mengurangkan zina yang berlaku adalah menjalankan hukum Allah swt iaitu hukuman sebat kepada penzina.Sesungguhnya Allah yang mencipta manusia maka Dia lebih tahu menyelesaikan masalah manusia.