Tuesday, February 9, 2010

14 Februari : Hari Apakah Itu Bagi Seorang Muslim?


Berusaha untuk menjadi kaum yang beroleh rahmat dan karunia nikmat dari Allah, tidak sempurna jika sekadar mengejar Islam, tanpa menolak dan menghindarkan diri daripada lawan Islam iaitu Jahilillah. Sebagaimana kita berulang kali memohon hidayah-Nya, kita juga berulangkali mengisytiharkan penolakan kita kepada cara hidup kaum yang dimurkai Allah dan cara hidup kaum yang sesat dan bingung kepercayaannya. Itulah intipati erti jati diri seorang Muslim. Tersendiri pada kepercayaan dan cara hidupnya. Istimewa dan unik mengatasi kaum yang bersalut murka dan dusta.

“Islam itu tinggi dan tiada sesuatu yang lebih tinggi daripadanya”
(Hadith riwayat al-Baihaqi dan dinilaikan sebagai sahih oleh al-Albani)

Di dalam sepotong Hadith yang terdapat di dalam Sunan Abi Dawood, Rasulullah SAW telah bersabda,
“Barangsiapa yang meniru atau berkumpul meramaikan sesuatu kaum, maka dia adalah dari kalangan mereka”

Jika mahu membalas cinta, balaslah dengan cara yang menyampaikan dua kekasih itu ke syurga. Bukan cinta berbalas dosa.Bukanlah soal bunga ros atau sekeping kad itu yang menjadi persoalan, tetapi kemusnahan jati diri sebagai seorang Muslim, dan sikap terhegeh-hegeh meniru segala yang datang daripada Barat itulah yang menjadi persoalannya.

Sabda Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

Kamu akan mengikuti sunnah umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggakan jika mereka memasuki lubang biawak (dhab) nescaya kamu akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya: Adakah mereka itu kaum Yahudi dan Nasrani, wahai Rasulullah? Sabda Baginda SAW: Ya, siapa lagi kalau bukan mereka?” - [Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Jika benar kita mahu membuktikan kasih sayang, maka buktikanlah ia menerusi cara Islam yang halal, indah, penuh barakah dan tiada kesan sampingan. Tanpa perlu menunggu 14 Februari, berkahwin adalah Sunnah Nabi SAW, yang jika kita serius ke arah itu, susunkanlah agenda hidup ke arahnya dengan baik. Usahlah dibazirkan wang untuk membeli bunga ros, kad-kad ucapan, atau candle light dinner di restoran-restoran mahal, kerana semua itu adalah keindahan yang menjadi pagar-pagar kemurkaan dan neraka Allah SWT. Kumpulkan wang dengan baik, beli buku yang mengajar cara hidup rumah tangga Islam dan laluilah 14 Februari ini seperti kita melalui hari-hari yang lain, iaitu dengan mengulangkaji pelajaran, menghadiri majlis-majlis ilmu, beribadah dan berlumba-lumba mengejar kebaikan.

No comments: